Polis buru penjenayah terlibat insiden tembakan tiga pelajar Palestin di Vermont
Kejadian disyaki bermotifkan kebencian
VERMONT – Pihak polis masih meneruskan usaha memburu penjenayah yang terlibat dalam insiden tembakan tiga pelajar Palestin yang menuntut di sebuah kolej Amerika Syarikat (AS), pada Ahad.
Dalam kejadian itu, tiga pelajar itu ditembak dalam serangan berhampiran Kampus Universiti Vermont.
Mangsa dikenal pasti sebagai Hisham Awartani, pelajar Universiti Brown di Rhode Island; Kinnan Abdel Hamid, pelajar Kolej Haverford di Pennsylvania dan Tahseen Ahmed pelajar Kolej Trinity di Connecticut.
Menurut pihak kolej, kesemua mangsa selamat dengan tahap kecederaan berbeza.
“Kami mendoakan keluarga mereka tabah dan mereka segera sembuh terutama kepada Hisham yang cedera teruk akibat ditembak di belakang badan, Tahseen di dada sementara Kinnan cedera ringan,” menurut hantaran Facebook ‘Ramallah Friends School’.
Dua daripada mangsa terbabit adalah warga AS manakala seorang lagi adalah pemastautin sah AS dan difahamkan, dua daripada mereka memakai keffiyeh serta bertutur dalam bahasa Arab apabila diserang.
Ketua Polis Burlington, Jon Murad berkata, polis menerima panggilan mengenai tembakan kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan dan mendapati dua orang cedera di satu lokasi berhampiran kampus universiti dan tembakan ketiga di lokasi berdekatan.
“Dalam keadaan sekarang, tidak dapat dinafikan kes ini berunsur perkauman dan satu jenayah didorong oleh kebencian.
“Saya sudah menghubungi pasukan penyiasat dan pendakwaan Persekutuan sebagai persediaan menghadapi kes ini dan kita kini menumpukan usaha memberkas suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.