Malaysia konsisten mahu gencatan di Gaza
PUTRAJAYA – Wisma Putra hari ini dengan tegas dan konsisten menyatakan pendirian Malaysia menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk menamatkan segera pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.
Wisma Putra berkata, kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Israel telah menyebabkan tragedi kemanusiaan yang sangat dahsyat di Gaza.
“Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan dari kedua-dua pihak, usaha ke arah menamatkan permusuhan secara kekal, dan rancangan pembinaan semula yang komprehensif untuk Palestin merupakan satu langkah yang tepat.
“Malaysia menyeru pihak yang berkaitan menerima cadangan itu dan berusaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya sebagai langkah terbaik untuk menamatkan malapetaka berterusan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Wilayah Palestin,” katanya dalam satu siaran media hari ini.
Wisma Putra turut menegaskan bahawa Malaysia kekal komited dalam perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha-usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra- 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.