Imigresen tahan 377 PATI di laluan masuk Putrajaya
PUTRAJAYA – Lebih separuh daripada 600 warga asing yang diperiksa di laluan masuk ke Putrajaya ditahan kerana tidak memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah.
Kesemua 377 warga asing itu dikesan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan awal pagi tadi oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki pas atau dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dalam operasi ini seramai 600 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 377 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berumur diantara 25 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah itu 250 orang merupakan PATI perempuan dan127 orang PATI lelaki yang kesemuanya terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Roslin, lokasi serbuan yang dijalankan adalah di sekitar jalan Putrajaya.
“Terdapat 2 checkpoint pemeriksaan oleh JPJ dan JIM di jalan utama untuk masuk ke Putrajaya dari arah Kajang dan Bangi,” katanya lagi.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.