PM X

Anwar, Wan Azizah tunai umrah, titip doa angkat penindasan di Palestin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah hari ini, selepas selesai menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh.

Perdana Menteri berkata, beliau turut menitipkan doa memohon Allah SWT mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.

“Semoga saudara kita di Gaza dan Tebing Barat dilimpahkan kesejahteraan, keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh tantangan dan kezaliman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini.

Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, ibadah itu turut dilaksanakan bersama delegasi Malaysia sebelum berangkat ke Amerika Syarikat, bagi menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Riyadh tengah hari semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Bercakap di hadapan pemimpin Islam pada sidang itu, Perdana Menteri menggesa negara anggota OIC secara konsisten mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan serta-merta manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Show More

Related Articles

Back to top button