Kes buli di MCKK: Tiada kompromi, tindakan telah diambil – KPM
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berkompromi dengan perbuatan buli melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh yang tular baru-baru ini.
Menurutnya dalam satu kenyataan, kes ini telah diambil tindakan dan kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.
“KPM tidak berkompromi dengan perbuatan buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.
“Salah laku buli dan gangguan seksual adalah salah laku berat dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, tiga saluran utama disediakan KPM bagi membolehkan orang ramai termasuk murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat laporan mengenai kes buli dan gangguan seksual.
Katanya, aduan itu boleh dibuat menerusi talian khas Aduan Buli, emel adubuli@moe.gov.my dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“KPM turut memantau kesegeraan penyampaian maklumat berkaitan kes
buli dan gangguan seksual berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard iaitu pada kadar 1:3:7 hari.
“KPM sentiasa berusaha memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu didedahkan ibu mangsa menerusi perkongsian di platform media sosial selepas anaknya yang berusia 16 tahun didakwa dibuli pelajar senior sehingga menerima rawatan di hospital.
Bagaimanapun, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK meluahkan kekesalan terhadap tindakan menularkan kejadian buli membabitkan pelajar sekolah berkenaan.
Menerusi kenyataan di laman Facebook (FB), persatuan itu berkata, tindakan menularkan kes berkenaan di media sosial memberi impak besar serta membawa imej buruk kepada institusi sekolah terbabit secara keseluruhan.