Jenayah & Mahkamah

Polis tahan dua lelaki disyaki buat hantaran media sosial berbaur ugutan kepada PM, Timbalan KPN

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek pertama yang disyaki pemilik atau pengendali Facebook Nekad Hikers Ventures berumur lingkungan 51 tahun, ditahan di kawasan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Suspek kedua pula yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook Jgad Zruu berumur 27 tahun, ditahan di kawasan Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau berkata, kedua-dua kes masih di peringkat siasatan, dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) menasihati orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shuhaily menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Show More

Related Articles

Back to top button