Berita Semasa

Belanjawan 2024: Krisis bekalan makanan perlu diberi perhatian serius – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya memberi perhatian serius terhadap krisis bekalan makanan yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini kerana Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lalu dilihat tidak menekankan perancangan terperinci dalam mengatasi masalah tersebut.

Malah katanya, kerajaan juga tidak memperuntukkan jumlah yang besar bagi memastikan daya pengeluaran makanan tempatan dapat diperkasakan.

“Ini kita telah bincang lama, malahan dikatakan status keselamatan makanan Singapura (berada pada tahap) antara yang terbaik di dunia. Malaysia berada di kedudukan antara 32 ke 33, ini satu perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Jadi sebab itu setiap tahun kita belanjakan sekitar RM60 bilion hingga RM70 bilion untuk membawa masuk bahan-bahan makanan. Kelapa pun kita import, sayur-sayuran, ikan, daging dan hampir sebahagian besar (diimport).

“Sepatutnya belanjawan ini sedar situasi ketika ini (adalah) krisis. (Misalnya) Kita lihat krisis beras, bekalan pengeluaran beras negara patut 70 peratus berbanding 30 peratus import. Yang terkini saya diberitahu, hanya 60 peratus sahaja, dan kekurangan 10 peratus,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan memperuntukkan RM52.8 bilion untuk subsidi dan bantuan sosial dalam Belanjawan 2024, namun, tidak menjelaskan mekanisme dan bagaimana ia dilaksana. .

“Apabila rasionalisasi subsidi dilaksana, apakah langkah kerajaan untuk mengelakkan insiden penyelewengan dan ketirisan? Contohnya di stesen minyak, bagaimana kerajaan hendak menentukan hanya mereka yang layak sahaja boleh membeli petrol bersubsidi?

“Sejauh mana penguatkuasaan dapat dilaksana dengan cekap di seluruh negara untuk mengelak ketirisan dalam agihan subsidi?

“Dengan langkah kerajaan menarik balik subsidi harga ayam dan telur melalui pengapungan harga mengikut pasaran pula, saya bertambah bimbang dengan nasib rakyat.

“Hasil penjimatan subsidi masih belum dapat dinikmati oleh mereka, sedangkan subsidi yang mereka nikmati pada masa ini pula ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut bertanya jika kerajaan membuat kajian menyeluruh bagi menilai kesan pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

Jelasnya, kerajaan mesti memastikan ia tidak akan menambah beban ditanggung rakyat walaupun semua pihak bersetuju melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan.

“Mesti ada suatu langkah untuk menampan impak rasionalisasi subsidi terutama subsidi petrol. Kaedah pemantauan dan penilaian subsidi secara lebih menyeluruh hendaklah diwujudkan bagi menilai keberkesanannya dan memastikan harga barangan di pasaran tidak meningkat secara mendadak,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button