JAIS selaras kutipan dana bantuan kemanusiaan
SHAH ALAM – Kutipan sumbangan bagi dana bantuan kemanusiaan untuk negara bergolak dan berdepan bencana kini diselaraskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Penyelarasan itu termasuk kutipan derma untuk Palestin di semua surau dan masjid
di seluruh Selangor.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kutipan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) itu bertujuan memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas nama sumbangan untuk umat Islam.
“Sebagaimana diketahui umum, keadaan konflik di Palestin yang terus bergolak sejak minggu lalu sehingga kini masih belum berakhir.
“Justeru, JAIS melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (TIJARI) menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyelaras semua kutipan dana yang dikumpul daripada seluruh masjid dan surau di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berkata, orang awam disaran menyalur derma ke tabung berkenaan yang dibuka di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.
“Orang awam juga boleh terus menyumbang ke akaun Maybank TIJARI : 562106718620 dengan menyatakan rujukan penerima (Recipient Reference) dengan nama Pray For Gaza,” katanya.
Pada masa sama Mohd Shahzihan berkata, JAIS turut menyelaras semua kutipan untuk agihan bantuan akibat bencana banjir di Libya dan gempa bumi di Maghribi serta Afghanistan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan sumbangan melalui tabung sama yang diwujudkan atau ke nombor akaun bank TIJARI.
“JAIS juga akan memastikan semua sumbangan akan disalurkan terus dan tepat kepada sasaran melalui pihak berkuasa yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS),” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh masjid dan surau di Selangor membaca Qunut Nazilah dan melaksanakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan, ketabahan, dan kemenangan perjuangan rakyat Palestin.