Berita Semasa

Jerebu: KPM akan dapatkan nasihat KKM sama ada sekolah perlu ditutup

KUANTAN – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mendapatkan cadangan dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada sekolah perlu ditutup atau sebaliknya sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) terus meningkat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan mendapatkan nasihat KKM dari semasa ke semasa, termasuk sama ada perlu memakai pelitup muka atau sebagainya.

“Ia bergantung kepada cadangan atau nasihat sama ada menutup sekolah, memakai pelitup muka atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Perasmian Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) KPM peringkat Kebangsaan 2023 di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini hari ini.

Buat masa ini, kata Fadhlina, semua sekolah di seluruh negara juga perlu mematuhi garis panduan ditetapkan sebelum ini dalam usaha menangani situasi jerebu.

Antaranya, membatalkan semua aktiviti luar jika bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100.

“Kita memang ada garis panduan dan kekal dengan garis panduan itu, kita minta semua sekolah mematuhinya.

“Jika IPU lebih 100, tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan perlu mengikut garis panduan itu sebagai mana yang kita tegaskan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button