JPJ, APAD diarah segera siasat insiden kemalangan libatkan lori, 10 lagi kenderaan
KUALA LUMPUR – Satu siasatan menyeluruh akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 5.7 Jalan Persiaran Utara, Putrajaya. hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan kedua-dua agensi tersebut untuk melaksanakan siasatan segera.
“Saya dah arah JPJ dan APAD untuk siasat jika benar lori terlibat lebih muatan kerana berdasarkan pemerhatian lori itu seperti lebih muatan.
“Jika benar lebih muatan, maka ia akan memberi impak kepada brek untuk berfungsi dan sebagainya,” kata Anthony pada satu sidang akhbar di Menara Affin, di sini hari ini.
Beliau turut mengesahkan bahawa kemalangan berkenaan tidak membabitkan sebarang konvoi kenamaan.
“Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) telah sahkan kepada saya bahawa ia adalah raptai Le Tour De Langkawi,” katanya.
Anthony dalam pada itu menyifatkan kemalangan itu amat menyedihkan bagi keluarga dan waris mangsa yang terlibat.
Kemalangan pada kira-kira pukul 10.14 pagi itu melibatkan enam kereta, dua lori, tiga motosikal dan sebuah motosikal polis trafik, dengan satu daripada lori terlibat dipercayai melanggar kenderaan yang sedang berhenti dalam barisan di jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, akibat kemalangan itu dua individu maut di tempat kejadian.