Bantu B40 jana pendapatan, bukan beri tunai – PPIM
KUALA LUMPUR – Pemberian wang tunai kepada golongan miskin tegar bukanlah langkah terbaik dalam membantu golongan miskin tegar, sebaliknya kerajaan perlu membantu mereka untuk menjana pendapatan sendiri.
Menurut Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, inisiatif kerajaan dalam pemberian wang tunai dalam Belanjawan 2023 semalam adalah penyelesaian jangka pendek.
Katanya perkara tersebut hanya akan meningkatkan kebergantungan golongan berpendapatan rendah kepada kerajaan untuk jangka panjang.
Tambahnya, kerajaan sewajarnya perlu membantu golongan ini dengan perkara yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka agar dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan.
“Sumbangan tambahan RM600 tidak akan bertahan lama. Kerajaan sepatutnya memberi bantuan dalam bentuk lebih produktif yang boleh membantu mereka menjana pendapatan sendiri.
“Sebagai contoh, kerajaan boleh memberi mereka pilihan untuk menjalankan perniagaan kecil penanaman cendawan atau penanaman hidroponik yang tidak membabitkan kos tinggi,” katanya memetik laporan FMT.
Beliau berkata demikian selepas diminta untuk mengulas pemberian sumbangan RM600 dalam bentuk baucar makanan di bawah inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi mereka yang berada dalam pangkalan data e-Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pemberian sumbangan tunai sehingga RM2,500 bergantung bilangan anak bagi isi rumah berpendapatan kurang RM2,500, yang juga akan diagihkan di bawah STR.