Berita Semasa

Gempa bumi Maghribi: Semua rakyat Malaysia yang dihubungi selamat, tidak terjejas – Zambry

PUTRAJAYA – Semua rakyat Malaysia di Maghribi yang telah dihubungi Kementerian Luar berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas dengan bencana gempa bumi yang melanda negara itu kelmarin, maklum Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir.

Zambry dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah telah menghubungi Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Datuk Astanah Abdul Aziz serta Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat mengenai perkembangan terkini bencana itu.

“Beliau memaklumkan kepada saya, sehingga kini tiada laporan yang melibatkan rakyat Malaysia. Semua rakyat Malaysia yang dihubungi setakat ini berada dalam keadaan selamat.

“Saya juga akan menghubungi rakan sejawatan saya, Menteri Hal Ehwal Luar Maghribi, Nasser Bourita bagi mendapatkan maklumat terkini bencana yang berlaku dan seterusnya menawarkan bentuk bantuan yang akan diperlukan sehingga kini,” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam pada itu, Zambry turut menzahirkan ucapan takziah kepada Kerajaan Maghribi dan semua mangsa yang terlibat dalam bencana gempa bumi ini.

“Saya titipkan doa buat semua rakyat Maghribi,” ujarnya lagi.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang paling dahsyat pernah direkodkan berlaku di Magribi pada Jumaat lalu itu telah meragut lebih 2,000 nyawa setakat ini, dengan lebih 2,000 lagi dilaporkan mengalami kecederaan serta ramai yang parah.

Kementerian Dalam Negeri Maghribi dalam satu kenyataan, semalam, berkata sekurang-kurang 2,012 kematian telah disahkan dan 2,059 mangsa cedera, termasuk 1,404 berada dalam keadaan kritikal.

Jumlah itu mencakupi 1,293 korban direkodkan di wilayah Al-Haouz yang juga pusat gempa kali ini, dan 452 di wilayah Taroudant – dua kawasan paling terkesan dalam bencana itu.

Show More

Related Articles

Back to top button