Sekolah Politik UMNO mula dibuka tahun depan
KUALA LUMPUR – UMNO akan memulakan sekolah politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada malam semalam.
“Sekolah politik itu memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dalam kenyataan yang sama, MKT UMNO turut meminta supaya semua wakilnya dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara.
“Kerajaan Madani yang genap 2 tahun Sabtu lalu terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama perlu terus didokong dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
“Ahli Mesyuarat bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus dipertingkatkan,” katanya.
Selain itu, MKT UMNO juga menzahirkan ucapan tahniah atas perlantikan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Dilantik.