Jenayah & Mahkamah

Lelaki didakwa bunuh ibu sendiri

Susulan penemuan mayat dalam peti sejuk beku

KUALA LUMPUR – Seorang pastor sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya, tiga tahun lalu.

N Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 77, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields antara 21 Mac hingga 26 Mac 2021.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

“Faham,” kata tertuduh yang berada di atas kerusi roda ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @Mohamad Saim.

Mahkamah menetapkan 7 Februari ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, perubatan dan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Laporan media sebelum ini menyebut mengenai penemuan mayat warga emas yang disimpan dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, di sini.

Perbuatan suspek terbongkar selepas kediamannya diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada lelaki itu kira-kira 9 pagi pada 12 November lalu.

Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku.

Suspek didakwa membuat pengakuan membunuh wanita berusia 80-an itu di kediamannya pada Mac 2021.

Show More

Related Articles

Back to top button