Berita Semasa

Saifuddin mahu jabatan, agensi KDN optimumkan penggunaan teknologi AI

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa semua agensi dan jabatan di bawah seliaannya untuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, agensi-agensi terlibat perlu memberi tumpuan dalam meningkatkan kemahiran terhadap penggunaan teknologi baharu itu menjelang 2025.

“Sasaran saya pada 2025, setiap agensi mesti ada fokus bagaimana ingin melaksanakannya (mahir dalam penggunaan) AI dan Unit Komunikasi Koprat (UKK) perlu memanfaatkan AI.

“Tiga bulan dahulu, ilmu ini tiada jadi sekarang sudah dan setiap dua atau tiga bulan ada ilmu baharu yang kita boleh diterokai.

“Justeru itu, kalau kita berada di posisi lama, sedangkan dunia bergerak ke arah ini kita rugi. Saya ingin tengok aplikasi AI dalam sumber manusia, AI dalam RELA dan AI dalam polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Pada masa yang sama, Saifuddin turut memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip RM2.1 juta pembayaran saman pada hari pertama penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan Madani, yang telah melabuhkan tirainya semalam.

Mengulas mengenai penggunaan AI dalam pengiraan jumlah saman, Saifuddin memberi contoh, pengiraan jumlah saman boleh dilakukan dengan lebih tepat menerusi penggunaan teknologi AI.

“Jumlah saman yang belum dibayar sejak tahun 90-an adalah sebanyak RM4 bilion dan ini termasuk mereka yang sudah mati dan tidak mampu bayar saman.

“Jadi kalau data itu kita lakukan analisis menggunakan teknologi AI, kemudian kita beli arahan, AI itu akan hapuskan (data) mereka yang sudah mati yang mana mereka ini tidak boleh pun bayar saman.

“Biar AI proses data itu jadi kita tidak akan sandarkan lagi kepada maklumat RM4 bilion kerana boleh jadi jumlah saman itu telah berkurang kepada RM3.5 bilion atau sebaliknya,” jelasnya.

Show More

Related Articles

Back to top button