Pasukan ping pong negara muncul juara Kejohanan Asia Tenggara (SEA)
PUTRAJAYA – Pasukan Malaysia berjaya melakar kejayaan membanggakan dalam sukan ping pong apabila muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Asia Tenggara (SEA) di Bangkok, semalam.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pencapaian ini merupakan satu kebanggaan buat negara.
“Tahniah kepada pasukan ping pong kebangsaan kita yang muncul juara keseluruhan dengan kemenangan lima pingat emas di Kejohanan Asia Tenggara di Bangkok. Satu pencapaian besar untuk Malaysia!” kata Hannah dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Pasukan negara dinobatkan selaku juara keseluruhan kejohanan tersebut setelah berjaya meraih lima daripada tujuh pingat emas yang dipertandingkan.
Dalam hari terakhir kejohanan semalam, Malaysia meraih tiga lagi pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki, dan beregu wanita.
Terdahulu, pasukan negara menghadirkan kilauan emas menerusi acara berpasukan lelaki dan beregu campuran.
Pada edisi kejohanan sebelum yang juga berlangsung di Bangkok dua tahun lalu, Malaysia hanya mampu meraih satu pingat perak dan dua gangsa.