Lelaki warga asing cetus kecoh di KLIA meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing yang ditahan kerana membuat gangguan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dilaporkan meninggal dunia kelmarin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu dalam perjalanan dari United Kingdom (UK) ke Phuket, Thailand dan sewaktu transit di KLIA melakukan kacau ganggu dan bertindak agresif.
“Ketika ditahan anggota Balai Polis MTB (Main Terminal Building) pada pukul 1.30 tengah hari, suspek yang berusia 30 tahun masih bertindak agresif dan merosakkan barang milik balai polis selain mengakibatkan kecederaan kepada tiga anggota polis termasuk polis bantuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, sewaktu dalam proses dokumentasi, suspek didapati tidak sedarkan diri dan anggota segera mendapatkan bantuan pihak perubatan KLIA.
Hussein berkata, suspek diberikan rawatan awal oleh doktor sebelum disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam, namun punca kematian belum dapat dikenalpasti dan memerlukan keputusan siasatan makmal,” katanya.
Jelasnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Kata beliau, siasatan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman daripada pelbagai sudut sebelum hasil siasatan diserahkan kepada Koroner.
Tambahnya, siasatan juga dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839).