Jenayah & Mahkamah

Suspek disyaki bunuh, simpan jasad ibu sendiri direman tujuh hari

KUALA LUMPUR – Suspek yang disyaki membunuh dan menyimpan jasad seorang wanita dipercayai ibu kandungnya dalam peti sejuk sejak 2021 di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini, direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, lelaki berusia 53 tahun yang juga seorang penganggur itu dikenakan perintah direman hingga 19 November.

Tambahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis masih menunggu laporan kesihatan daripada pihak hospital serta laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

“Suspek sendiri yang membuat panggilan polis bagi menyerah diri dan tindakannya itu masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Laporan media semalam menyebut, lelaki itu terlebih dahulu menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana tidak sihat, sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya kepada anggota polis yang tiba kemudiannya.

Jasad mangsa dihantar ke Pusat Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button