Kemuka penyata cukai hartanah mandatori mulai 1 Januari 2025
KUALA LUMPUR – Semua urusan mengemuka penyata cukai hartanah perlu dilaksanakan secara mandatori bermula 1 Januari tahun depan selaras dengan transformasi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam memperkasakan perkhidmatannya.
LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, pelaksanaan pengemukaan Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah melalui e-CKHT di portal MyTax itu bertujuan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada pembayar cukai tanpa perlu hadir ke pejabat.
Katanya, tindakan itu juga sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian negara.
“LHDN komited dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan sebagai agensi pemudah cara yang lebih fleksibel dan dinamik sekali gus kekal relevan dan melangkaui ekspektasi semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, peguam bertauliah dan ejen cukai berlesen yang dilantik juga dibenarkan untuk mengakses e-CKHT pembayar cukai di portal tersebut.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://mytax.hasil.gov.my dan ikuti langkah yang ditetapkan.