Berita Semasa

21 permohonan bina rumah baharu di Kampung Baru diluluskan – Kor Ming

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Program Bina Baharu Rumah Kampung Baru di Kampung Baru Menglembu, dekat sini, semalam.

Menurut Kor Ming, projek pembinaan rumah tersebut yang merupakan jenis Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Jelas beliau, sepanjang tahun 2024, sebanyak 21 permohonan membina rumah baharu di Kampung Baru telah diluluskan dengan kos pembinaan sebuah rumah baharu ini adalah sebanyak RM79,500.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kos untuk 21 permohonan itu adalah lebih RM 1.6 juta merangkumi enam negeri.

Bilangan permohonan rumah baharu di negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu masing-masing merangkumi satu rumah, manakala Selangor dua rumah dan Perak sebanyak 15 rumah.

“KPKT juga telah membaik pulih 283 unit rumah di bawah Program Bantuan Baikpulih Rumah (PBBPR) Kampung Baru dengan peruntukan sebanyak hampir RM5 juta.

“KPKT menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan terus komited dalam melaksanakan pembangunan di Kampung Baru demi kemaslahatan penduduknya di samping menjaga kebajikan penduduk dan terus diperluaskan ke perkampungan kaum India,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Kor Ming turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Lampu Jalan Solar Light-emitting diode (LED) Jenis Integrated di Kampung Baru Menglembu.

Projek ini dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kerja Raya (JKR) sejak tahun 2023.

“KPKT telah meluluskan projek pemasangan 1,233 batang lampu jalan solar LED di 195 buah Kampung Baru yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM 9.9 juta,” katanya.

Jelas Kor Ming lagi, pemasangan lampu jalan solar LED ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan penduduk Kampung Baru.

“Dalam peruntukan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 84 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial di Kampung Baru,” jelasnya.

Selain itu, Kor Ming berkata, KPKT turut diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan kemudahan asas di perkampungan kaum India.

“Tiada sesiapa yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara kerana KPKT akan memastikan kesejahteraan rakyat di bandar mahupun luar bandar terpelihara seiring dengan pembangunan bandar mampan dan komuniti sejahtera yang kita perjuangkan selama ini,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button