KEHIDUPAN adalah satu perjalanan yang tidak pernah sunyi daripada ujian. Dari kegelisahan jiwa hingga ke perasaan putus asa dalam diri, setiap individu pasti merasai detik-detik yang mencabar kekuatan mental dan emosi.
Dalam mencari jalan keluar daripada permasalahan ini, ramai yang terperangkap dengan jalan penyelesaian sementara yang seringkali gagal memberikan ketenangan hakiki.
Namun, sebagai umat Islam, kita telah dianugerahkan sebuah panduan yang sempurna iaitu Al-Quran.
Bukan sekadar kitab suci, Al-Quran adalah terapi jiwa yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menyembuhkan luka batin, memperbaiki perspektif kehidupan dan memberikan kekuatan dalam menempuh apa jua ujian.
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’, ayat 82 yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman …”
Menurut Pengasas Rehab Hati, Ustaz Nuruddin Al-Indunissy, zaman ini ramai umat Islam cenderung untuk berputus asa apabila diuji dengan sesuatu ujian daripada Allah, hingga sanggup bertindak menamatkan nyawa sendiri.
“Dalam Islam, orang yang berputus asa itu hakikatnya lebih bahaya daripada kematian. Ini kerana kematian hanya memisahkan roh dari jasad. Tetapi sifat putus asa memisahkan roh dengan Tuhannya.
“Orang yang kecewa atau marah bila diuji, dia terlupa pada alat ujinya iaitu semuanya daripada Allah SWT yang mahu menguji tahap keimanan hamba-Nya.
“Justeru, jika kita sedar perkara ini dan kembali kepada Al-Quran yang diturunkan sebagai penawar serta rahmat buat manusia, maka kita pasti akan meraih ketenangan dalam kehidupan,” ujar Ustaz Nuruddin dalam program Terapi Penyembuhan Jiwa Melalui Al-Quran di Hotel D Gateway Bangi semalam.
Ustaz Nuruddin juga merupakan penulis buku Rehab Hati yang popular di Indonesia dan trainer ruqyah (perawatan Islam) bertauliah di empat benua termasuk di Afrika Selatan, Hong Kong dan Singapura.
Program anjuran Bonda Nor Sdn Bhd itu menyaksikan seramai 40 peserta berpeluang mengikuti tausiyah dan ilmu berkaitan ruqyah melalui Al-Quran sebagai usaha menyembuhkan pelbagai penyakit dalam diri.
Sementara itu, Bonda Nor memberitahu, beliau sendiri rasa seronok dan bersyukur kerana dapat belajar semula dari peringkat asas tentang mengenal kejadian diri sendiri dan alam ciptaan Allah.
“Rasa berbaloi mengundang penceramah yang jauh dari Jakarta untuk berkongsi ilmu yang sangat bermanfaat sebegini kepada para peserta. Lebih bahagia apabila program ini turut disertai oleh insan-insan kesayangan, ahli keluarga dan sahabat rapat.
“Semoga ilmu yang diperoleh ini menyebabkan kita sama-sama pulang membawa kefahaman dan mudah-mudahan menjadi penguat semangat untuk mengisi kehidupan dan meneruskan perjuangan selagi jasad dikandung badan. Moga Allah berkati majlis ilmu dan pertemuan ini,” ungkap penulis best-seller siri buku motivasi diri Pujuklah Hati itu.
Salah seorang peserta, Faizah Ahmad pula berkongsi, dirinya teruja apabila mengikuti program tersebut.
“Jika ada rezeki, saya mahu belajar lagi. Ilmu yang disampaikan banyak mengajak kita memahami dari akar. Saat itu juga pelbagai rasa muncul dalam diri. Nak jadi ahli syurga, tapi rasa bekal tak cukup, ibadah banyak yang kurang.
“Tapi apa yang penting, hati rasa nak berubah. Nak perbaiki diri, perbaiki amalan dan nak istiqamah membaca Al-Quran. Malah, hati turut terdetik untuk mendalami ilmu tauhid, akidah, pembersihan jiwa, tazkiyayatul nafs serta penawar dari Al-Quran. Moga Allah permudahkan, insya-Allah,” tulis Faizah di laman Facebooknya.
Bagi penulis pula, program tersebut membuka minda dan perspektif baharu tentang kepentingan mengetahui punca setiap penyakit dan ujian yang diberikan Allah SWT sebagai cara untuk kita lebih tenang dan rasional menghadapinya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.”
Hadis ini jelas menunjukkan setiap penyakit itu ada ubatnya. Justeru, sebagai orang yang beriman kita dianjurkan berusaha merawat penyakit yang dialami dan tidak hanya pasrah dengan ujian kesihatan tersebut.
Semoga dengan kesabaran dan keredhaan kita berdepan apa jua ujian, menjadi asbab untuk kita beroleh syurga dari Tuhan. Insya-Allah.