Berita Semasa

KPKM catat pelbagai pencapaian sepanjang dua tahun Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus mencatatkan pelbagai kejayaan penting sepanjang dua tahun pentadbiran bersama Kerajaan Madani meskipun berdepan cabaran perubahan iklim, impak pandemik Covid-19 dan tekanan ekonomi global.

Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelbagai langkah strategik dilaksanakan bagi memastikan keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

“Antara kejayaan utama ialah usaha penanaman bawang secara besar-besaran yang dijangka mengurangkan kebergantungan import sebanyak 30 peratus menjelang 2030, selain peningkatan eksport nanas daripada 800 kontena pada Januari 2024 kepada 1,727 kontena pada Oktober 2024.

“Eksport durian segar ke China turut menyumbang kepada peningkatan hasil negara dengan jangkaan nilai eksport RM1.8 bilion menjelang 2030.

“Dalam usaha menstabilkan bekalan dan harga, penstrukturan subsidi ayam berjaya menjimatkan hampir RM100 juta sebulan, manakala Program Jualan Agro Madani membantu rakyat memperoleh keperluan asas dengan penjimatan sehingga 30% daripada harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi menyokong petani dan nelayan, KPKM menaikkan Skim Subsidi Harga Padi kepada RM500 per metrik tan, memperkenalkan Skim Budi Madani Agro Komoditi untuk petani yang terkesan, serta meneruskan subsidi diesel dan elaun sara hidup kepada nelayan. ‘

Di Sabah, Sarawak dan Labuan, subsidi beras import bernilai RM23 juta sebulan disalurkan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga beras dunia.

Mohamad turut berkata, reformasi sektor padi dan beras untuk meningkatkan kadar swasembada beras (SSR), memperkukuh penguatkuasaan dan menyusun semula sektor berkenaan supaya lebih berdaya saing.

Beliau menyeru rakyat untuk terus menyokong agenda Malaysia Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim demi mewujudkan Malaysia yang makmur dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Saya mengajak seluruh rakyat memeriahkan sambutan ulang tahun ke-2 Kerajaan Madani yang akan berlangsung dari 22 hingga 24 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button