Berita Semasa

Kemunculan dadah sintetik sebabkan penyalahgunaan dadah sukar dibanteras sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Kemunculan dadah sintetik seperti Amphetamine Type Stimulant (ATS) yang mendominasi pasaran negara menyukarkan pihak berkuasa membanteras sepenuhnya perlakuan penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata perubahan trend itu menjadikan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sukar untuk memerangi bahan terlarang itu.

“Antara punca yang menyebabkan masalah dadah sukar dibendung disebabkan perubahan trend daripada jenis dadah organik kepada sintetik. Ini sangat mencabar.

“Kalau melihat statistik menunjukkan penyalahgunaan jenis ATS ini adalah seramai 115,410 orang iaitu 70.4 peratus, berbanding jumlah keseluruhan jenis dadah sehingga September lalu.

“Penyalahgunaan dadah jenis ganja pula hanya sekitar empat peratus iaitu 6,750 orang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan punca usaha puluhan tahun untuk memerangi penyalahgunaan dadah di negara ini oleh kementerian dan agensi berkaitan, seolah-olah tidak berjaya.

Show More

Related Articles

Back to top button