Sukan

Insiden pergaduhan: Arif Aiman, Tommy Mawat digantung 3 perlawanan

KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada masing-masinh digantung tiga perlawanan susulan insiden pergaduhan ketika perlawanan Liga Super pada 10 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu berkata, Arif Aiman didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy Mawat Bada pada perlawanan tersebut.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada 20 dan 30 November ini serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kuala Lumpur City FC pada 8 Disember ini.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, Tommy Mawat juga dijatuhi hukuman sama kerana melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan fair play, akibat daripada tindakannya menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri pemain Arif Aiman.

“Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan iaitu perlawanan pertama dan kedua Pusingan 16 Unifi Piala Malaysia 2024-2025 menentang Kelantan Darul Naim FC pada 22 dan 30 November ini serta perlawanan Liga Super 2024-2025 menentang Kedah Darul Aman FC pada 4 Disember hadapan.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button