Jenayah & Mahkamah

Polis siasat insiden kenderaan pengiring VIP langgar kereta orang awam

KUALA LUMPUR – Pihak polis sedang menyiasat kemalangan membabitkan kenderaan orang awam dengan kenderaan anggota polis di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), kelmarin.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya telah menerima maklumat berhubung insiden berkenaan, yang dipercayai berlaku ketika kenderaan polis tersebut sedang sedang mengiringi orang kenamaan (VIP).

“Untuk makluman, maklumat kemalangan yang ditularkan adalah semasa petugas PDRM mengiringi orang kenamaan di Lebuhraya Utara-Selatan.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 16 November di KM 259 Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan membabitkan dua kenderaan berdasarkan laporan diterima,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Jelasnya, kes masih di bawah siasatan JSPT bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan digalakkan memberi maklumat untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu video berdurasi satu minit empat saat yang memaparkan sebuah kenderaan petugas PDRM sedang mengiringi VIP merempuh kereta jenis Proton Saga.

Dalam rakaman itu, kereta pengiring berkenaan disyaki dipandu laju sewaktu hujan sebelum melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan.

Hantaran terbabit mendapat lebih 69,000 tontonan serta 1,205 reaksi.

Show More

Related Articles

Back to top button