Melaka tarik balik darjah kebesaran negeri dianugerah kepada CEO GISBH
MELAKA – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam hari ini menarik balik darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk yang dianugerahkan kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, dengan serta-merta.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Untuk rekod, Nasiruddin dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada 25 Ogos lalu.
Susulan arahan berkenaan, kata Azhar, nama Nasiruddin sudah dikeluarkan daripada senarai Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Tahun 2024.
“Penarikan balik darjah kebesaran ini selaras dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam Perkara 34B, Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Melaka.
“Oleh yang demikian, Nasiruddin Mohd Ali tidak dibenarkan mengguna pakai gelaran terbabit dan beliau dikehendaki memulangkan semula darjah kebesaran itu kepada Pejabat SUK Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh,” katanya dalam kenyataan tersebut.