Bagasi pintar sebagai skuter dilarang di kawasan apron lapangan terbang – CAAM
PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan larangan penggunaan bagasi pintar atau ‘skuter’ sebagai mod pengangkutan di kawasan apron lapangan terbang.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapt Norazman Mahmud berkata, meskipun bagasi pintar yang boleh ditunggang menawarkan kemudahan kepada penumpang, penggunaannya di kawasan apron yang menjadi lokasi jentera berat, pesawat dan kenderaan perkhidmatan darat boleh menimbulkan risiko keselamatan.
“Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan di lapangan terbang, penggunaan bagasi pintar dilarang sepenuhnya di kawasan apron.
“Had laju juga perlu ditetapkan di zon tertentu, di samping mendidik penumpang dan petugas tentang amalan penggunaan yang selamat,” katanya dalam arahan keselamatan bertarikh 15 November.
Kawasan apron di lapangan terbang merujuk kepada kawasan yang berkongsi lantai dengan tempat parkir pesawat yang dilalui penumpang sebaik turun dari pesawat.
Norazman berkata, bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya termasuk komponen baterinya sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.
Tegasnya, tanda larangan juga akan dipasang di ruang terminal dan zon menunggu untuk memastikan pematuhan.
“Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan segera melaporkan penggunaannya di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.
“Prosedur khusus juga perlu dipatuhi untuk memuatkan, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutama jika ia mengandungi bateri litium yang boleh menimbulkan risiko keselamatan,” katanya lagi.
Norazman turut menyarankan syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang memasukkan arahan keselamatan itu dalam pengumuman pra-penerbangan dan pada tiket perjalanan sebagai makluman kepada penumpang.
“Langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan maksimum di lapangan terbang dan mengelakkan insiden yang boleh membahayakan penumpang serta operasi penerbangan,” katanya lagi.