
Ladang solar terapung bakal dibangunkan di Cyberjaya
SHAH ALAM – Pembangunan ladang solar di Tasik Cyberjaya bakal meningkatkan reputasi bandar tersebut sebagai pusat digital yang menawarkan solusi tenaga hijau yang bersih dan lestari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, projek yang dibangunkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) itu dijangka bermula pada tahun ini.
“Pendekatan yang unik dan pintar dalam pembangunan tenaga solar ini dapat meningkatkan jenama serta reputasi Cyberjaya.
“Ia seterusnya akan menarik minat pelabur dan perniagaan yang komited dengan aspek kelestarian.
“Saya amat menghargai inisiatif yang ditunjukkan oleh Worldwide Holdings dan syarikat-syarikat berkaitan untuk membangunkan dan memanfaatkan solusi tenaga hijau di Cyberjaya, menerusi penjanaan kuasa dari ladang solar terapung yang bakal dibangunkan di Tasik Cyberjaya,” kata Amiruddin dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, semalam.
Haris terdahulu menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pembangunan tenaga solar di Selangor antara Worldwide Holdings dengan beberapa buah syarikat di Selangor.
Antara ditandatangani, dua MoU dengan Cyberview Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor, Global Energy Storage Malaysia dan PKNS Real Estate Sdn Bhd membabitkan pembangunan loji janakuasa bebas yang bakal menjana tenaga daripada ladang solar terapung di tasik Cyberjaya.
Pembangunan projek itu adalah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan difahamkan melibatkan kos kira-kira RM100 juta.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune