100 pelumba berentap dalam Kejohanan Motocross Malaysia 2024
KOTA TINGGI – Hujan yang membasahi Litar Motocross Bandar Tenggara ternyata tidak menjejaskan kemeriahan Kejohanan Motocross Malaysia (MMC) 2024 yang berlangsung selama dua hari di sini, semalam.
Malah keadaan litar yang licin dan berselut menjadikan saingan bertambah sengit kepada pelumba-pelumba seawal usia tujuh tahun yang menyertai pertandingkan kali ini.
Aksi hebat yang dipamerkan dalam tujuh kategori dipertandingkan juga menyaksikan kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir tidak berganjak meninggalkan litar.
Cabaran yang menambah kesukaran itu juga menyebabkan beberapa pelumba terpaksa mengundur diri akibat kemalangan dan kerosakan jentera. Walaupun begitu, semangat juang tetap membara dalam kalangan pelumba yang berusaha mengumpul mata sehingga ke garisan penamat.
Berdepan saingan jaguh-jaguh motocross terbaik dari seluruh negara, pelumba dari Husqvarna Dzas Racing Team (Rompin, Pahang), Mohamad Zubir Hassan diumumkan juara keseluruhan dalam MMC 2024 melalui penyertaan dalam Kategori MX2 A.
Ia merupakan kemenangan kali ketiga berturut-turut yang dipertahankan beliau sejak penganjuran MMC 2022. Walaupun terlibat dalam kemalangan, Zubir bangkit dengan penuh bersemangat dan mengatasi semua saingannya.
Kejayaan mengumpul mata tertinggi melalui tiga pusingan iaitu dua pada hari pertama dan satu pada hari terakhir itu menghadiahkan tropi kejuaraan dengan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Penganjur MMC 2024, Nor Hafizi Rasip berkata, antara kategori yang dipertandingkan pada kali ini adalah MX2 A, MX2 B, MX50, MX65, MX85, MX2 Junior, MX Rookie dan MX35 (tambahan).
Katanya, MMC 2024 menerima sebanyak 100 penyertaan dari pelumba seluruh negara dan Singapura.
“Selain penyertaan individu, kejohanan kali ini juga disertai oleh pelumba dari 13 buah pasukan motocross berpengalaman dan enam pasukan pelumba kategori kanak-kanak.
“Secara keseluruhan, hadiah kategori dan pusing yang ditawarkan pada MMC 2024 dianggarkan bernilai RM35,000,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune pada majlis penyampaian hadiah MMC 2024.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.
Untuk rekod, kejuaran sukan ektrem ini mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperuntukkan geran padanan sukan untuk kegunaan penganjuran.
Nor Hafizi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan di atas sumbangan geran yang bukan sahaja membantu pihaknya membangunkan sukan motocross bahkan menaik taraf kualiti penganjuran dari tahun ke tahun.
“Tahun ini masuk tahun ketiga penganjuran, antara perkara yang dinaik taraf adalah penyediaan platform siaran secara langsung di Facebook dan Youtube.
“Dengan adanya krew dan peralatan ini, kita harap acara ini dapat ditonton oleh lebih ramai peminat yang tidak dapat hadir ke tapak acara.
“Selain itu kita juga dapat menyediakan kemudahan tempat yang lebih baik, ruang gerai, tempat cuci motor, penyediaan bekalan elektrik dan juga pengulas acara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap KBS supaya terus memberi galakan dan dana bagi memastikan usaha dan program acara sukan tersebut dapat diteruskan.
“Selain sokongan daripada kerajaan, kami juga berharap lebih banyak pemain-pemain dalam industri permotoran tambil menawarkan penajaan,” katanya.
Selain KBS, MMC 2024 juga mendapat kerjasama Kejora, Tourism Malaysa, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Rakan Muda, Motosport Association of Malaysia (MAM) dan TQMX Motocross Club.