Berita Semasa

Malaysia terus laksana ‘show of presence’ di sempadan perairan negara

PASIR GUDANG – Malaysia akan terus mewujudkan ‘show of presence’ (kehadiran) selain melaksanakan ‘Maritime Domain Awareness’ (MDA) di kawasan sempadan perairan negara termasuk di Laut China Selatan, mengikut undang-undang antarabangsa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, tindakan Filipina meluluskan akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan, baru-baru ini, akan ditangani sewajarnya.

“Namun Malaysia juga kekal menggunakan pendekatan utama menerusi diplomasi. Selagi kita boleh berunding, berbincang dan bercakap dengan negara jiran, kita akan guna pendekatan diplomasi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Azizul Azily Ahmad.

Khamis lalu, Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Minggu lalu, Presiden Marcos Jr dilapor menandatangani dua undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.

Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Sehubungan itu, pakar undang-undang maritim antarabangsa menyarankan supaya kerajaan mengeluarkan peta baharu bagi memperjelaskan sempadan maritim yang menjadi kawasan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

Ini kerana kali terakhir peta maritim Malaysia dikeluarkan adalah pada 1979, sedangkan sejak itu hingga kini, sudah banyak perubahan pada persempadanan dan tuntutan maritim yang berlaku.

“Saya percaya keperluan untuk mengeluarkan peta baharu bergantung kepada jika kita rasa ada perubahan pada peta lama.

“Peta kita tetap peta kita. Kita memang tak ubah (peta) tetapi yang ubah mereka. Dari semasa ke semasa mereka ubah peta sehingga termasuk pula kawasan kita.

“Malaysia memang tak ada nak ubah peta, kita hanya ubah peta bila kawasan baharu nak dimasukkan. Bagaimanapun, kita tetap akan pertahankan kawasan dan kedaulatan kita,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button