Isu sijil halal Genting tiada kaitan dengan premis judi
KUALA LUMPUR – Pemberian Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kepada syarikat Genting Malaysia Berhad langsung tidak mempunyai kaitan dengan premis judi.
Sebaliknya, sijil berkenaan dikeluarkan bagi premis-premis makanan yang dikelolakan oleh syarikat berkenaan di Genting Highlands seperti Jom Makan Street Food Restaurant & Kitchen dan Jom Makan SkyAvenue Restaurant & Kitchen.
Perkara itu dijelaskan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kebajikan Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan, semalam.
“Syarikat berkenaan sangat sangat komited dalam mematuhi keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sehingga dinobatkan sebagai Halal Champion negeri Pahang.
“Pensijilan halal ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti isu yang tersebar,” katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi.
Mengulas lanjut, kenyataan itu turut memberitahu, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM sebelum ini menerima pertanyaan menerusi media sosial berkenaan isu penyerahan sijil Halal Champion negeri Pahang bersempena Program Halal On Track @ Pahang pada 19 Oktober lalu.
Sehubungan itu, JAKIM turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa.
“Elakkan daripada mengelirukan pengguna lain di luar sana,” katanya lagi.
Laporan media kelmarin memberitahu, Genting Malaysia Bhd diumumkan sebagai Juara Halal Negeri Pahang semasa acara Halal on Track Pahang 2024 yang diadakan di Kuantan, baru-baru ini.
Daripada 1,500 calon, Genting Malaysia muncul dalam kelompok 10 terbaik.
Syarikat berkenaan menerusi satu kenyataan berkata, anugerah itu diberikan berikutan penyerahan status halal dan operasi harian yang teliti, latihan serta dokumentasi untuk gerai-gerai Jom Makan SkyAvenue dan Jom Makan Street Food Resorts World Genting oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP).