Insiden 3 petugas JKR lemas, polis ambil keterangan 19 saksi
KAMPAR – Polis telah merakam keterangan 19 individu bagi membantu siasatan insiden tiga petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang maut akibat lemas di Sungai Jahang, Gopeng di sini petang kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Supt. Mohamad Nazri Daud, kesemua individu yang dirakam keterangan itu merupakan peserta program water rafting tersebut dan pengendali aktiviti tersebut.
“Kita jangkakan memanggil beberapa lagi individu lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya semalam.
Sementara itu, Mohamad Nazri berkata kesemua jenazah mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing dari Unit Forensik Hospital Kampar awal pagi semalam.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah disebabkan asphyxia secondary to drowning (saluran pernafasan terhalang akibat lemas) dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Susulan kejadian, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kampar telah mengarahkan semua aktiviti riadah dan kegiatan luar melibatkan kawasan sungai di daerah Kampar dihentikan buat sementara waktu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kejadian itu, tiga petugas JKR Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang dan JKR Langkawi, Kedah lemas ketika melakukan aktiviti water rafting di Sungai Jahang, Gopeng.
Mangsa dikenal pasti Suhaili Mat Saad, 47, jurutera daerah SPT, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, (penolong jurutera kanan JKR Langkawi) dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang merupakan pegawai khidmat pelanggan di JKR Langkawi.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan berterusan yang menyebabkan air Sungai Jahang naik mendadak mengakibatkan satu bot water rafting yang dinaiki enam penumpang dan seorang guide atau pemandu peserta terbalik.