Berita Semasa

Tiada hadis digugurkan daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tiada sebarang hadis dikeluarkan daripada Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bagi pembelajaran murid Islam di sekolah tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan terus menggunakan kesemua 42 hadis dalam modul itu di sekolah bawah KPM.

“(Lima hadis) tak pernah digugurkan, tak pernah,” katanya di Dewan Rakyat.

Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang bertanya mengapa lima hadis digugurkan daripada modul itu.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy, membuat dakwaan bahawa KPM mengeluarkan lima hadis daripada modul tersebut.

Antara didakwa dikeluarkan termasuk hadis kelapan iaitu perintah Allah kepada Rasulullah untuk memerangi manusia yang belum bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah sehingga mereka menerima Islam, mendirikan solat dan membayar zakat.

Modul penghayatan hadis itu dilancarkan pada Ogos lalu bertujuan memupuk nilai sabda atau hadis Rasulullah di peringkat sekolah.

Sementara itu, Fadhlina berkata perluasan aktiviti penghayatan modul berkenaan di semua sekolah KPM hanya melibatkan murid beragama Islam.

“Modul penghayatan ini bukan mata pelajaran baharu, namun modul tersebut merupakan bahan pengayaan bagi mata pelajaran pendidikan Islam.

“Oleh yang demikian, modul digunakan tiada pertindihan dengan mata pelajaran pendidikan Islam sedia ada,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button