Gaya HidupRencana

Damai hati di Jendela Padi Resthouse Sekinchan

MEMULAKAN hari dengan menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas pasti menggamit kedamaian dalam diri.

Menyaksikan sang mentari perlahan-lahan memancarkan sinarnya, sang bangau terbang mencari rezeki di batas sawah dan jika bertuah melihat pelangi di kaki langit sememangnya membawa kebahagiaan yang bukan sedikit.

Kemudahan dan ruang barbeku di tepi bendang turut disediakan untuk kegunaan pengunjung.

Justeru, tidak hairanlah jika ramai yang sanggup menunggu giliran untuk menginap di Jendela Padi Resthouse Sekinchan ini walaupun memakan masa hingga bertahun.

Alhamdulillah, rezeki penulis apabila diajak bercuti oleh adik perempuan bongsu dan keluarga pada cuti sempena perayaan Deepavali yang lalu. Short vacation sehari semalam, namun kepuasannya di luar jangkauan.

Terletak di Jalan Parit 11, Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor, lokasi ini sangat sesuai buat mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota raya dan hutan batu. Tak lupa buat mereka yang mahu melupakan seketika tekanan di tempat kerja, anda boleh cuba healing diri di sini.

Selain menawarkan keindahan sawah padi saujana mata memandang, kolam bersaiz sederhana pada kedalaman 1.2 meter yang dibina betul-betul bersebelahan kawasan bendang memberi nilai tambah yang mengujakan.

Kolam renang yang dibina dengan kedalaman 1.2 meter memberi nilai tambah yang menyeronokkan.

Keseronokan anak-anak mandi kolam sambil disuapkan makanan, menyebabkan mereka lupa dengan gajet masing-masing. Dari mula check-in pada pukul 3 petang hingga satu jam sebelum check-out sekitar 12 tengah hari, kolam tersebut adalah lokasi yang menjadi tumpuan si kecil. Ibu ayah pun tumpang sekaki berendam sambil berborak sesama sendiri.

Memiliki tiga buah bilik yang dilengkapi bilik air yang memiliki pemanas air dan pendingin hawa, pemilik rumah rehat ini turut menyediakan toto dan tilam tambahan, televisyen, seterika, kemudahan peralatan barbeku, peralatan memasak seperti dapur gas, periuk nasi, airfryer, peti sejuk dan penulen air.

Malah, pinggan mangkuk juga ada untuk digunakan seisi keluarga.

Menurut adik ipar, Mohd Fandy Sharif, 34, sebagai kaki pancing, dia sempat membeli beberapa batang joran untuk melakukan aktiviti tersebut di parit berhampiran sawah.

Anak-anak kecil turut berpeluang merasai pengalaman memancing ikan di tepi parit.

“Alhamdulillah, dapat juga tunjuk cara memancing pada anak-anak yang teruja melihatnya. Memang tempat ini satu lokasi pilihan untuk aktiviti seisi keluarga. Walaupun dapat sewa sehari semalam sahaja, tetapi satu kepuasan apabila menyaksikan wajah gembira anak-anak.

“Insya-Allah, ada rezeki boleh datang lagi ke sini,” katanya yang kemudian berjaya membuat tempahan penginapan sempena cuti persekolahan pada bulan Disember nanti.

Bagi penulis pula, tiada apa yang mampu diluah melainkan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana mengurniakan rezeki bercuti bersama anak-anak tanpa mengeluarkan belanja walaupun satu ringgit.

Penulis berpeluang merasai pengalaman bercuti singkat yang membahagiakan bersama anak-anak.

Daripada sewaan rumah rehat, makan minum hinggalah minyak kereta, semuanya ditanggung adik ipar yang berniat berkongsi rezeki bersama ahli keluarga.

Masya-Allah, tabarakallah. Sungguh, Allah jualah sebaik-baik pengurnia rezeki buat seluruh makhluk-Nya di dunia ini. Moga Dia mengurniakan sebaik-baik ganjaran buat mereka yang sentiasa melakukan kebaikan tanpa mengharap sebarang balasan melainkan redha-Nya semata-mata.

Ruang makan dan dapur yang luas dan selesa untuk seisi keluarga.

Oh ya, perlu diingatkan sebelum datang ke rumah rehat Jendela Padi ini, pastikan anda sudap siap membeli barang keperluan seperti makanan dan sebagainya kerana kedai terdekat pun agak jauh dari kawasan tersebut.

Ia pengalaman kami sendiri kerana menyangka pasti ada kedai terdekat setelah melepasi pekan Sekinchan, namun rupa-rupanya tiada. Jika ada pun hanya kedai kampung yang ketika kami pergi, tutup pula.

Apa pun, keseluruhannya Jendela Padi Resthouse Sekinchan tetap menawarkan satu pengalaman yang unik, menyeronokkan dan penuh ketenangan buat para pelanggan mereka.

Semoga Allah murahkan rezeki buat adik sekeluarga kerana berkongsi kegembiraan bersama.

Cubalah sendiri, dan anda pasti membenarkan kata-kata saya ini. Insya-Allah.

Jendela Padi Resthouse Sekinchan
Alamat: No. 1, Ban 1, Lot 10330, Jalan Parit 11, Kampung Pasir Panjang, 45400 Sekinchan, Selangor.
No. Telefon: 011-1436 0607
Facebook: The Jendela Padi Resthouse Sekinchan
TikTok: @TheJendelaPadi

Show More

Related Articles

Back to top button