Jom Ronda

MSekin Wonderland, Fisherman Village Hotel & Resort tarikan terbaru di Sekinchan

SEBUT sahaja Sekinchan, kita pasti terbayangkan keindahan kawasan bendang, rumah-rumah tradisional di kelilingi sawah padi atau tarikan di sekitar jeti nelayan.

Namun tarikan tersebut bukanlah satu-satunya yang ditawarkan oleh daerah kecil di Sabak Bernam itu kerana pelbagai keunikan baharu kini timbul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Antara tarikan tersebut termasuklah taman tema air pertama di Sekinchan, MSekin Wonderland yang bersambung dengan Sekin Fisherman Village Hotel and Resort.

MSekin Wonderland yang terletak bersebelahan dengan Sekin Fisherman Village Hotel and Resort.

Kunjungan Malaysia Tribune selama dua hari satu malam di pusat peranginan tersebut mendapati harga yang sangat berpatutan menjadi faktor orang ramai memilih destinasi itu.

Dengan bayaran serendah RM25 untuk kanak-kanak dan warga emas, RM30 bagi dewasa, pengunjung khususnya kanak-kanak boleh menikmati pelbagai jenis permainan di taman tema tersebut.

Lebih menarik, MSekin Wonderland mempunyai 10 kolam renang untuk dewasa, kanak-kanak dan juga bayi.

Kolam bayi yang disediakan di MSekin Wonderland.

Selain itu, setiap bahagian di dalam taman tema itu juga mempunyai aktiviti berbeza seperti kolam renang yang dilengkapi gelongsor dan air pancut, taman permainan kanak-kanak (indoor dan outdoor) serta tapak perkhemahan berbumbung.

Taman tema yang mampu memuatkan 5,000 pengunjung itu turut menyediakan kemudahan berbumbung bagi melindungi pengunjung dari panas terik dan hujan.

Kolam berbumbung bagi melindungi pengunjung dari panas terik dan hujan.

Untuk menikmati tarikan yang ada di taman tema ini, pengunjung digalakkan menginap di MSekin Fisherman Village Hotel and Resort.

Harga penginapan bilik bagi satu malam bermula pada RM140 bagi bilik standard sehingga RM342 bagi bilik keluarga yang turut didatangkan bersama pakej tiket MSekin Wonderland.

Bilik Deluxe King.

Malaysia Tribune dimaklumkan, ketika ini terdapat lebih 70 bilik pelbagai pilihan yang ditawarkan.

Sementara itu, 300 buah bilik juga akan ditambah daripada  bangunan hotel lima tingkat yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada penghujung 2024.

Bagi mereka yang mahukan suasana privasi, pihak resort juga ada menawarkan bilik eksklusif iaitu ‘hotel enam’ yang dilengkapi dengan kolam renang persendiran (private pool) berhadapan dengan bilik.

Terletak berdekatan dengan Pantai Redang Sekinchan, pengunjung yang mahu menikmati suasana yang berbeza jauh daripada kesibukan kota boleh menyaksikan pemandangan matahari terbenam di pantai berdekatan.

Pemandangan Pantai Redang.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah tandas dan bilik mandi awam, gazebo, surau, bilik acara, taman permainan kanak-kanak, tempat letak kereta yang luas, gerai makanan serta kedai cenderahati dan serbaneka.

Bagi mereka yang mahu bersiar-siar di sekitar MSekin dan Pantai Redang, pihak resort ada menyediakan perkhidmatan sewaan basikal elektrik & ATV pada kadar yang berpatutan.

Di sebelah malam, Malaysia Tribune sempat menikmati makan malam di Restoran yang terletak di dalam resort tersebut.

Kami disajikan dengan pelbagai makanan bertemakan makanan laut, seperti ikan siakap 3 rasa, sotong goreng tepung, ikan pari bakar, tomyam, udang goreng butter dan menu istimewa yang diterbangkan khas dari Sarawak, iaitu ikan terubuk bakar.

Aneka makanan laut.

Bagi sarapan pagi pula, dengan bayaran serendah RM8, pengunjung boleh menikmati pelbagai menu yang disediakan dalam bentuk bufet.

Yang menjadi tarikan utama ,semestinya nasi lemak yang dihidangkan bersama sambal ‘signature’ mereka yang tersendiri.

Salah seorang pengunjung sedang menikmati sarapan pagi.

Selain itu, makanan seperti roti sandwich tuna, pulut kuning kari ayam, nasi goreng, bihun goreng, nasi himpit, popia goreng juga turut disediakan.

Secara keseluruhannya, pengalaman kami di taman tema ini memberikan kepuasan yang cukup berbaloi terutama ketika melihat kegembiraan anak-anak bermain di taman air.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di talian 017-3126751/ 017-3126029 atau dari laman Facebook MSekin Wonderland.

Show More

Related Articles

Back to top button