Pengadil dan pengadil VAR aksi Perak FC-JDT direhatkan
KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) yang bertugas semasa perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Ahad lalu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, tindakan itu diambil susulan analisis Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil terhadap dua insiden kontroversi dalam perlawanan tersebut.
“Kedua-dua pengadil didapati gagal membuat keputusan yang tepat berhubung insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 membabitkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada.
“Analisis terhadap insiden tersebut dilakukan berdasarkan Undang-undang Permainan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil dan pengadil VAR kurang tepat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keputusan merehatkan kedua-dua pengadil tersebut melibatkan penggantungan daripada dua perlawanan dalam Liga Profesional dan Liga Amatur. Selain itu, mereka juga akan melalui fasa pemulihan dan pemurnian sebelum kembali bertugas.
FAM turut menekankan pentingnya peningkatan prestasi pengadil, termasuk pengadil VAR bagi memastikan kualiti perlawanan terus terpelihara.
“FAM tidak berkompromi dalam isu prestasi pengadil. Pendekatan hukuman berprinsipkan pendidikan dilaksanakan agar pengadil yang menunjukkan prestasi lemah bukan sahaja dihukum tetapi turut dididik dan diberi khidmat kaunseling untuk kembali bertugas dengan lebih baik,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan keperluan untuk bersikap berhati-hati dalam mengenakan hukuman berat kerana teknologi VAR yang digunakan memerlukan pegawai perlawanan memiliki lesen VAR.
“Polisi hukuman berprinsip pendidikan ini telah lama diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga terkenal dunia. Ia bertujuan memastikan perjalanan liga berjalan lancar tanpa menjejaskan kualiti pengadilan,” katanya.
Keputusan itu menunjukkan komitmen FAM untuk memperbaiki mutu pengadilan dalam bola sepak Malaysia, sejajar dengan amalan standard antarabangsa.