Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Nasi lemak kambing, sajian tradisi dengan sentuhan unik

BILA sebut sahaja sajian makan pagi, pasti tidak lengkap tanpa nasi lemak. Sajian kegemaran seluruh rakyat Malaysia itu tidak dinafikan menjadi pilihan paling popular dan mudah diperolehi.

Selain berlaukkan sotong, ayam, paru dan kerang, agak jarang untuk kita temui hidangan nasi lemak yang dipadankan dengan daging kambing.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar Bandar Bukit Puchong, sajian ‘breakfast’ berinovasi dengan citarasa masakan India turun-temurun ini mungkin dapat memenuhi selera anda.

Beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, gerai wagon Nasi Lemak Kambing di sini turut menawarkan beberapa jenis lauk lain seperti ayam, udang, bihun dan pelbagai jenis kuih.

Menariknya, sebahagian daripada menu-menu yang ditawarkan adalah masakan vegetarian.

Pemiliknya, Pradeep Kumar berkata, hidangan kambing berempah yang dijual dimasak sendiri oleh isterinya menggunakan resipi sajian yang diwarisi turun temurun.

Nasi lemak kambing

“Rasa lembut daging kambing dan aroma rempah pasti menambah kontras yang sempurna pada sajian nasi lemak ini.

“Bagi mereka yang mahu mencari sedikit kelainan dalam citarasa nasi lemak bolehlah datang ke gerai kami,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Ditanya mengenai status halal hidangannya, dia memberi jaminan halal dari bekalan yang diperoleh daripada pasaraya tempatan.

“Ya, memang ramai yang bertanyakan soal halal sebab saya juga dalam kejiranan pelbagai kaum. Terus terang saya katakan kami tiada sijil halal dari Jakim.

“Tapi rakan-rakan di sini tahu latar belakang saya yang banyak bercampur masyarakat Melayu Islam, jadi saya cukup teliti dan faham mengenai cara penyediaan makanan.

“Kami juga ada menyediakan makanan vegetarian seperti bihun goreng dan kuih-kuih tradisional yang dibuat tanpa telur misalnya,” katanya.

Pradeep Kumar yang memulakan perniagaan Nasi Lemak Kambing di Bandar Bukit Puchong, sejak dua bulan lalu.

Sejak mengusahakan perniagaan itu beberapa bulan lalu, Pradeep berkata dia menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelanggan walk-in dan juga tempahan untuk jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

Bahkan katanya, ada pelanggannya yang sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkan pakej francais sekiranya ada.

“Buat masa ini memang tak ada francais lagi sebab masih baru. Jika sambutan terus baik, tidak mustahil ia akan dilaksanakan akan datang,” katanya.

Fokus utama perniagaan pada ketika ini katanya adalah untuk membanyakkan lagi menu termasuk memperkenalkan sajian ‘daging vegetarian’ yang dihasilkan dari bahan berasaskan soya.

“Ini saya jangka akan menjadi tarikan baharu kami tahun depan terutama untuk mereka yang vegetarian.

“Jemput datang ke gerai wagon Nasi Lemak Kambing kami di Jalan BP 3/11 Bandar Bukit Puchong, 47100 ,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button