Malaysia konsisten tidak iktiraf kewujudan Israel
PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian konsisten negara dalam tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara ini sekali lagi disahkan oleh jemaah menteri selepas beberapa dakwaan fitnah yang tersebar baru-baru ini.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa, Malaysia melindungi kewujudan negara Palestin dan sehingga kini kita tidak pernah sekalipun mengiktiraf negara Israel.
“Pendirian ini juga diperkukuh dengan usaha Malaysia di pentas antarabangsa untuk mengetengahkan isu pengiktirafan kedaulatan Palestin,” katanya dalam siding media di sini hari ini.
Malah katanya, penyelesaian dua negara sebagai asas perdamaian Palestin-Israel juga disebut sebagai pendirian lama Malaysia yang telah wujud sejak 2002, bukannya dasar baharu.
“Apa yang disebut sebagai penyelesaian dua negara adalah kenyataan yang bukan dibuat hari ini tetapi sejak tahun 2002 oleh perdana menteri-perdana menteri sebelum ini,” tambahnya.
Kerajaan turut menyelar tindakan pihak tertentu yang memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri dalam wawancara baru-baru ini, sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Semalam dalam Parlimen tersebar satu fitnah yang memberikan gambaran seolah-olah kerajaan Malaysia mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti laporan dan mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang laporan tetapi kita harus berhati-hati untuk melayan spekulasi seolah-olah ia fakta,” jelas Fahmi.
Pendirian Malaysia yang tidak berubah ini menegaskan sokongan padu kepada Palestin di tengah-tengah konflik global yang semakin meruncing.