Senarai hitam MRSM kerana ibu bapa culas bayar hutang hanya sementara
KUALA LUMPUR – Tindakan menyenarai hitamkan anak kepada peminjam pendidikan dan perniagaan Mara daripada memasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya bersifat sementara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang berkata, syarat itu adalah antara usaha Mara supaya peminjam tidak culas daripada menjelaskan semula hutang pinjaman mereka.
“Senarai hitam ininadalah sementara malah mereka boleh datang jumpa Mara jika ada isu. Kalau tak mampu bayar (ansuran bulanan), kita terbuka tanya mereka berapa boleh bayar.
“Pokoknya mereka mesti bayar pinjaman Mara. Kebanyakan kes selepas jumpa Mara dia akan bayar hutang dan nama dikeluar dari senarai hitam,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanya bila kementerian akan menghapuskan senarai hitam kepada pengberhutang Mara supaya anak-anak mereka dapat masuk belajar di MRSM.
Antara syarat memasuki MRSM selain warganegara Malaysia dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, adalah ibu bapa pelajar tidak disenarai hitam oleh Mara.
Rubiah berkata, langkah senarai hitam itu juga bagi memastikan aktiviti perniagaan usahawan sentiasa dinaik taraf dan peminjam hanya disenarai hitam jika tak bayar ansuran selama tiga bulan.