Tiada mekanisme tepat dapat uruskan penyasaran subsidi bahan api – Rafizi
Kaedah terbaik, gunapakai mekanisme yang dapat kekang kenaikan harga mendadak, inflasi
KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya akan menggunakan kaedah yang paling sesuai dalam hal penyasaran subsidi bahan api termasuk RON95 kerana tidak ada mekanisme yang tepat yang boleh digunakan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kaedah terbaik adalah menggunapakai mekanisme yang dapat memastikan pelaksanaannya nanti tidak menyebabkan kenaikan harga barang mendadak, selain pada masa sama dapat mengekang inflasi.
Rafizi bagaimanapun tidak menolak akan terdapat risiko seperti aspek masalah operasi di stesen minyak, atau menyebabkan penipuan serta peningkatan kos apabila kaedah yang dipilih dilaksanakan.
“Tak ada satu kaedah sempurna kerana mana-mana kaedah sekalipun akan menyebabkan sedikit risiko dan masalah seperti dari segi operasi, penipuan dan kos. Namun paling utama kerajaan meletakkan keutamaan kepada usaha mengawal harga barang dan inflasi kerana itu lebih utama.
“Walaupun kita maklum pelaksanaannya kelak akan ada risiko, namun ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, berbanding (kaedah yang akan menyebabkan) inflasi naik mendadak dan untuk menurunkan harga barang, ini akan lebih membebankan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah masalah kerosakan cip kad pengenalan, capaian internet perlahan luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan dan melambatkan proses pembelian minyak.
Rafizi kemudiannya menegaskan, kaedah harga dua peringkat di stesen minyak yang kini dipertimbangkan kerajaan boleh dilaksanakan kerana operasinya mampu diperbaiki dari semasa ke semasa.
“Rata-rata ahli ekonomi menyatakan bahawa bayaran tunai adalah lebih baik kerana tidak membabitkan operasi di stesen minyak, namun kerajaan melihat risiko kenaikan harga barang.
“Kita sedia maklum apabila naik sahaja harga minyak, ia akan menyebabkan kenaikan inflasi.
“Atas pertimbangan itu, walaupun kita sedia maklum pelaksanaan harga dua peringkat ada risikonya di stesen minyak, namun ia sesuatu yang boleh diperbaiki berbanding contohnya ia (kaedah lain) dilaksanakan, namun menyebabkan inflasi naik mendadak kerana untuk menurunkan harga barang itu lebih susah,” katanya lagi.