Subsidi RON95: Kaedah levi tidak berkesan kerana akan sebabkan keciciran
KUALA LUMPUR – Kaedah mengenakan levi mengikut pemilikan kenderaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 bukan langkah terbaik kerana akan menyebabkan keciciran lebih besar dalam kalangan golongan sasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dapatan daripada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menunjukkan, kira-kira 40 peratus daripada golongan sasar B60 tidak mempunyai pendaftaran pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“PADU sudahpun memadankan pemilikan kenderaan dengan semua pendaftaran kenderaan yang ada di JPJ dan saya boleh memaklumkan kepada dewan secara kasarnya sekitar 40 peratus daripada keluarga B60 itu tiada pendaftaran pemilikan kenderaan, jadi kita ada masalah.
“Walaupun di peringkat atas, (sekiranya) menggunakan pendaftaran kenderaan untuk kendalikan penyasaran subsidi, hakikatnya bagi keluarga terbawah mereka sebenarnya tiada pendaftaran kenderaan, kerana satu keluarga mungkin menggunakan motosikal atas nama pendaftaran orang lain.
“Maka untuk menggunakan kaedah pendaftaran itu, risiko keciciran adalah lebih besar,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
Rafizi turut memberitahu, pihaknya dan Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan penggunaan kad pengenalan dan e-dompet dalam pelaksanaan penyasaran subsidi minyak RON95 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.
Pengesahan kelayakan seseorang penerima subsidi itu akan mengambil kira kedudukan sosio ekonomi isi rumah dan perlu dilakukan sebelum pembelian RON95 dibuat.
“Penentukan kelayakan dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 menggunakan dua harga di stesen minyak, akan dibangunkan oleh Kementerian Kewangan.
“Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025,” katanya.
Beliau menambah, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan mengambil kira dan memperhalusi mekanisme itu susulan cabaran infrastruktur dan capaian internet di seluruh negara.
“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang bakal dihadapi, seperti mekanisme kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan.
“Semua cabaran itu sedang diambil kira dan diperhalusi serta sedang dalam pembangunan di antara Kementerian Kewangan dengan pemain industri dan mereka yang akan melaksanakan perkara ini,” katanya lagi.