Berita Semasa

Malaysia sudah salurkan RM45 juta sumbangan, bantuan kemanusiaan ke Palestin sejak 2023

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah menyalurkan RM45 juta dalam bentuk sumbangan dan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza sejak konflik dengan Israel tercetus pada 7 Oktober 2023.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, sumbangan berkenaan disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam Op Ehsan, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.

Jelas beliau lagi, lebih 5,000 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia telah dihantar ke Gaza melalui sempadan Rafah dari Oktober 2023 yang memberi manfaat kepada jutaan penduduk Palestin.

“Situasi kini semakin mencabar setelah pintu sempadan Rafah ditutup sejak 7 Mei 2024 dan kini satu-satunya laluan bantuan yang masih beroperasi ialah melalui Jambatan Raja Hussein di Jordan.

“Oleh sebab itu, kita sedang memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan kerajaan Jordan… kita telah mendapat undangan dan bersetuju untuk turut serta dalam misi bantuan melalui jambatan ini dengan kerjasama kerajaan Jordan,” katanya dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian semasa Malaysia serta bentuk bantuan kemanusiaan yang dihulurkan dan kos diperuntukkan bagi krisis kemanusiaan Gaza sejak serangan Israel pada 7 Oktober 2023 hingga kini.

Selain bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza, beliau berkata Malaysia juga menyumbangkan AS$1 juta kepada dua pertubuhan di Jordan iaitu Pusat Kanser Raja Hussein dan Pertubuhan Kebajikan Hashemite Jordan (JHCO).

Mohamad seterusnya mberkata, Malaysia akan terus bersuara lantang memperjuangkan pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berlandaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara dan diiktiraf sebagai negara anggota penuh PBB.

Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan pendirian tegas Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi semalam.

Show More

Related Articles

Back to top button