KPKT komited tangani isu haiwan terbiar secara berperikemanusiaan
KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk menangani isu haiwan terbiar seperti anjing dan kucing melalui pendekatan berperikemanusiaan bagi menjaga kesejahteraan rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, KPKT menggunakan garis panduan penangkapan dan pelupusan anjing terbiar di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai panduan utama.
“Garis panduan itu dirangka dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), badan bukan kerajaan (NGO) pencinta haiwan dan wakil-wakil PBT sejajar dengan peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPKT turut mengutamakan kaedah adopsi atau penyerahan haiwan terbiar kepada NGO bagi penempatan semula.
Menurut Kor Ming, kaedah Trap, Neuter, and Release (TNR) yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak 2019 dengan kerjasama International Aid for the Protection and Welfare of Animals (IAPWA) menunjukkan kejayaan apabila 5,308 ekor anjing berjaya ditangkap dan dilepaskan semula ke kawasan awam.
“Bagaimanapun, pelaksanaan TNR dihadkan oleh kekurangan suntikan vaksin penggalak anti-rabies dan kaedah “put to sleep” hanya digunakan sebagai jalan terakhir bagi haiwan yang berpenyakit, uzur atau membahayakan keselamatan awam,” katanya lagi.
Beliau berkata, pada 2023 terdapat 2,712 aduan berkaitan anjing terbiar di Sarawak dengan 15,831 kes gigitan anjing dan 109 kes rabies.
Sehingga Ogos 2024, aduan menurun kepada 1,027 kes, namun kes gigitan anjing tetap mencatatkan angka 12,529 dan lima kes rabies.
“Penurunan itu hasil operasi proaktif oleh PBT dan JPV, yang menjalankan 2,386 operasi penangkapan dan pelupusan haiwan terbiar sepanjang tahun,” katanya lagi.
Sementara itu, Kor Ming dalam Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengingatkan bahawa PBT yang tidak mematuhi garis panduan itu akan dikenakan tindakan siasatan dan disiplin.
“Kita ada Akta Kebajikan Haiwan dan garis panduan yang sangat jelas. Mana-mana PBT yang gagal mematuhinya terpaksa menghadapi tindakan undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk bertanggungjawab dalam membela haiwan.
“Jika tidak mampu untuk menjaga, jangan mengambil haiwan tersebut dan kemudian membuangnya. Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama menangani masalah ini,” katanya lagi.
Pendekatan manusiawi KPKT dalam isu haiwan terbiar itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan haiwan serta keselamatan dan keharmonian rakyat terus terjaga.