Nikki Haley, Mike Pompeo tiada dalam kabinet baharu AS
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengumumkan bekas calon presiden Parti Republikan, Nikki Haley dan bekas Setiausaha Negara, Mike Pompeo tidak akan tersenarai dalam Kabinet pentadbirannya yang sedang dibentuk.
Trump menyatakan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan kedua-dua tokoh itu dalam pentadbiran sebelum itu namun memutuskan untuk tidak melibatkan mereka dalam barisan pentadbiran baharunya.
“Saya tidak akan menjemput bekas duta Nikki Haley atau bekas Setiausaha Negara Mike Pompeo untuk menyertai Pentadbiran Trump yang kini sedang dibentuk.
“Saya sangat menghargai dan menikmati waktu bekerja bersama mereka dan ingin mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan mereka kepada negara kita,” katanya dalam kenyataan.
Haley yang pernah menjadi gabenor Carolina Selatan dan duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyatakan sokongannya terhadap Trump meskipun pernah bersikap kritikal terhadapnya ketika pilihan raya Parti Republikan.
Pompeo pula yang pernah mengetuai Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan berkhidmat sebagai Setiausaha Negara di bawah pentadbiran Trump turut dianggap sebagai calon yang berpotensi untuk jawatan Setiausaha Pertahanan.
Pada Rabu lalu, Trump mengisytiharkan kemenangannya selepas mendahului dalam keputusan awal Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Dalam ucapannya di Florida, calon Parti Republikan (GOP) itu menyifatkan AS bakal menyambut ketibaan “zaman keemasan baharu,” dan menekankan komitmennya untuk mengembalikan kegemilangan negara di bawah pentadbirannya.