Wanita Vietnam ditahan disyaki bakar rumah di Taman Singa
MANJUNG – Polis menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 38 tahun bagi membantu siasatan kes kebakaran tiga buah rumah dan empat kenderaan di Taman Singa, Sitiawan, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada pukul 2.50 pagi yang memaklumkan rumahnya terbakar hampir keseluruhan, mengakibatkan kerugian termasuk sebuah Proton X50, Perodua Myvi dan motosikal Yamaha Ego miliknya.
“Kebakaran bermula dari garaj rumah pengadu sebelum merebak ke dua rumah bersebelahan dan turut memusnahkan sebuah motosikal lain bagaimanapun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), seorang lelaki dipercayai membawa dua tong berisi cecair ke arah rumah pengadu sebelum melarikan diri selepas api mulai marak.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah menahan wanita Vietnam bagi membantu siasatan lanjut.
“Motif kejadian serta kaitan wanita berkenaan dengan suspek utama masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Inspektor Nur Munawara Ahmad di talian 011-16240391 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222.