Berita Semasa

Malaysia gesa PBB ambil tindakan segera, lindungi keselamatan anggota pengaman

PUTRAJAYA – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengambil tindakan yang segera, tegas dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman yang melaksanakan mandat Majlis itu.

Kementerian Luar berkata, peranan penting Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) tidak sepatutnya dikompromi.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 Nov 2024 yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.

“Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau berkenaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, Malaysia sekali lagi menegaskan keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.

“Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian,” tegas Wisma Putra.

Khamis lalu, sebuah konvoi pasukan pengaman PBB diserang ketika melalui bandar Saida di selatan Lubnan. UNIFIL kini sedang menyiasat insiden itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan.

Katanya, kejadian berlaku ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).

Pasukan terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat iaitu kumpulan pertama MALBATT 850-12 yang baru diterbangkan ke Lubnan pada 6 November lalu.

Dikatakan, pasukan itu baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.

Show More

Related Articles

Back to top button