Berita Semasa

LHDN lancar 4 produk inovasi baharu

BANGI – Sebanyak empat produk baharu merangkumi teknologi dan perkhidmatan profesional dilancarkan sempena sambutan Hari Integriti Nasional 2024, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Produk itu yang dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican melibatkan STAMPS Genius Payment, Digital Pentadbiran: Modul Gaji dan Elaun, HASiL EA – Pemantauan Pelan Korporat LHDN dan Dashboard Interaktif Pematuhan Audit Cukai.

Dalam pada itu, Johan dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada LHDN atas usaha berterusan mengangkat inovasi dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“Sebagai jentera kerajaan yang utama di bawah payung Kementerian Kewangan, kesungguhan semua peringkat khasnya pengurusan LHDN dalam memperbaharui corak kerja dan memastikan tahap kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem penyampaian percukaian kepada rakyat meningkat seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDNM sedang menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2024

Tambahnya lagi, pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan menerusi inovasi pentadbiran dan ekonomi telah memperlihatkan perubahan yang positif seperti kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah meningkat, ekonomi negara terus berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun 2025.

Pada masa sama, katanya, defisit fiskal tahun 2025 disasarkan pada 3.8 peratus, menandakan potensi peningkatan daripada 4.3 peratus pada 2024.

Justeru, beliau menyeru komitmen profesional LHDN ke arah pencapaian yang lebih tinggi serta menJadikan inovasi dan integriti sebagai pandu gerak pengoperasian yang lebih cemerlang demi kesejahteraan ekonomi dan kelangsungan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapannya berkata, pihaknya akan terus meneroka dan mengintegrasi elemen inovasi dan integriti yang akan membuka gerbang kepada kecemerlangan yang berterusan.

Di samping itu, katanya, pembudayaan inovasi akan membantu LHDN untuk mengadaptasi perubahan semasa, mencipta nilai tambah yang unik, meningkatkan motivasi dan kualiti ke arah kejayaan jangka panjang.

Tambahnya lagi, LHDN akan terus komited, telus dan adil dalam membina sistem percukaian negara yang cekap dan efisien agar keberhasilannya memberi manfaat dan kebaikan optimum buat semua.

 

Show More

Related Articles

Back to top button