Berita Semasa

Gunung Ruang meletus, amaran tsunami dikeluarkan

JAKARTA – Amaran tsunami dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia selepas Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lima kali dan menghamburkan abu setinggi lebih satu kilometer ke udara.

Amaran itu dikeluarkan susulan kebimbangan sebahagian gunung berapi itu runtuh ke laut dan menyebabkan tsunami seperti berlaku pada 1871.

Pulau Tagulandang di perairan timur laut Gunung Ruang sekali lagi berdepan risiko dilanda tsunami, sehingga memaksa penduduknya berpindah.

Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Ruang meletus buat kali pertama jam 9.45 malam (waktu tempatan) pada Selasa disusuli empat letusan lain pada Rabu.

Tahap amaran untuk gunung berapi itu setinggi 725 meter di atas paras laut itu ditingkatkan daripada tiga kepada empat semalam sekali gus tertinggi dalam sistem amaran bencana empat peringkat.

“Berdasarkan visual dan bacaan yang menunjukkan peningkatan dalam aktiviti gunung berapi, paras amaran Gunung Ruang dinaikkan daripada tahap tiga kepada tahap empat,” kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Hendra Gunawan.

Show More

Related Articles

Back to top button