Uncategorized

JIM tumpaskan sindiket pemerdagangan manusia

PUTRAJAYA – Jabatan Imgresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang dalam satu Operasi Khas di Klang Sentral, Selangor, semalam.

Operasi yang bermula pada pukul 3.54 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

JIM dalam kenyataan malam ini berkata, pasukan yang diatur gerak ke sebuah premis rumah kedai berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai ‘penjaga premis’.

Katanya, suspek berusia dalam lingkungan 30 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Hasil pemeriksaan di premis menemukan enam lelaki warganegara Bangladesh berusia antara 18 tahun hingga 41 tahun yang menjadi mangsa sindiket itu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, ‘penjaga premis’ tersebut cuba untuk melarikan diri melalui tingkap di sebuah bilik dan berlaku sedikit pergelutan namun berjaya digagalkan.

“Pasukan operasi turut merampas tujuh naskhah pasport Bangladesh dan tujuh unit telefon bimbit.

“Modus operandi sindiket ini adalah membawa masuk warganegara Bangladesh yang ingin mencari pekerjaan di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Sebahagian daripada dokumen berupa pasport ‘mangsa’ yang dipegang oleh sindiket.

Menurut kenyataan itu, sindiket dipercayai membawa masuk mangsa sebagai pelancong dengan segala urusan pasport, visa, penginapan dan tiket penerbangan mangsa diuruskan oleh sindiket.

“Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket adalah sebanyak RM15,000 untuk setiap seorang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari ‘rumah transit’ tersebut,” katanya.

JIM berkata, penjaga premis’ berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.12 Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan ditempatkan di Lokap Berpusat IPD Shah Alam, Selangor.

Manakala enam lelaki warganegara Bangladesh yang diselamatkan dibawa ke rumah perlindungan di Tanjung Kling, Melaka untuk tindakan selanjutnya.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

 

Show More

Related Articles

Back to top button