Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Bunuh warga emas tanpa niat, wanita didenda RM2,500

IPOH – Seorang wanita didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang warga emas yang ditemui mati di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya, 25 Oktober lalu.

Majistret Siti Nora Sharif yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan tertuduh Siti Nuridah Jumli, 24, dihukum penjara dua bulan jika gagal membayar denda, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah hingga menyebabkan kematian kepada Abd Kamar Mat Sarin, 64.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan pintu masuk pasar raya di Klebang antara jam 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Okt lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

Gnanarajan ketika memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan berkata Siti Nuridah berniaga sendiri dengan pendapatan RM3,000 sebulan dan belum berkahwin.

Berdasarkan fakta kes, Siti Nuridah bersama seorang lagi yang masih bebas bertindak gopoh dengan menampar tepi muka dan belakang si mati sehingga menyebabkan kematian kepada warga emas itu yang mempunyai masalah sakit jantung.

Terdapat saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan perbuatan tertuduh dan suspek yang masih bebas menampar tepi muka dan belakang kepala si mati.

Laporan perubatan juga menunjukkan bahawa si mati mempunyai masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Show More

Related Articles

Back to top button